Tun Mahathir Dedahkan Inilah Sebab Mengapa Najib Takut Letak Jawatan

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdana menteri masih berpegang kepada jawatannya kerana takut dikenakan tindakan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus menyerang Datuk Seri Najib Razak, mengatakan perdana menteri itu mungkin enggan meletak jawatan kerana beliau takut dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam satu video yang dimuat naik di blog Din Turtle, bekas perdana menteri itu, pada satu majlis diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya berkata, selagi Najib kekal berkuasa, negara akan merosot dan tidak stabil.

"Tentang nasihat, saya dah nasihat. Tentang ugut pun, saya dah ugut. Tapi dia kata dia tak akan berhenti.

"Sebab dia tak akan berhenti, saya ingat, pasal dia takut. Kalau dia berhenti, 'maybe' kena 'criminal charge'," katanya.

Ini, katanya, berkaitan hutang RM42 bilion yang ditanggung dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Mana pergi duit itu? Dia kena terangkan. Dia cakap memanglah, melabur sana, melabur sini, tetapi tiada bukti selain daripada membeli tanah dengan harga yang murah dan membeli kilang elektrik dengan harga yang terlalu tinggi.

"Jadi, banyak sangat kesalahan Najib ini dan saya percaya selagi dia menjadi perdana menteri, negara kita akan merosot dan menjadi sebuah negara bermasalah dan tidak lagi stabil, tidak lagi menjadi tempat kita selesa hidup dengan sempurna," katanya.

Dr Mahathir berkata, itu satu daripada sebabnya mengapa beliau mengisytiharkan beberapa bulan lalu yang Najib perlu meletak jawatan tetapi katanya, ramai yang masih tidak memahami isu di sekitar 1MDB.

"Susah nak fikir RM1 bilion, satu juta (ringgit) pun kebanyakan orang Melayu tak kenal. Ini RM42 bilion, susah kita nak fikir. Sebab itu mereka ambil jalan mudah, (dan berkata) takpalah, apa sangat kesalahannya," katanya.

Kenyataan Dr Mahathir tersebut mengulang apa yang pernah dikatakannya pada wawancara dengan The New York Times (NYT) minggu lalu apabila beliau dipetik berkata, tindakan Najib ibarat beliau seorang penjenayah.

Beliau ditanya akhbar harian Amerika Syarikat itu berhubung kritikannya terhadap 1MDB, dakwaan gaya hidup mewah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan persoalan menyelubungi pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dr Mahathir tidak jemu-jemu mengkritik 1MDB dan Najib, yang merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Dalam video tersebut, beliau juga mengingatkan orang Melayu sekiranya mereka gagal menyedarkan diri sendiri tentang isu yang berlaku, besar kemungkinan mereka akan tewas dibandingkan kaum lain, sama seperti keadaannya di Singapura dan selatan Thailand.

Berhubung laporan NYT itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman membidas perkara itu dalam satu surat terbuka, melahirkan kekesalan kerana Dr Mahathir cuba merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai "sebahagian daripada dendam politik peribadi."

Beliau juga berkata, menuduh Najib ibarat seorang penjenayah adalah tidak bertanggungjawab dan satu pembohongan.

"Beliau terus melancarkan serangan, dan tidak sebaliknya menunggu hasil siasatan yang dijalankan Bank Negara Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

"Ini menunjukkan Dr Mahathir tidak berminat kepada jawapan daripada pihak berkuasa berkenaan yang sah. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan 1MDB sebagai alasan menjatuhkan perdana menteri," katanya dalam suratnya. – 21 Jun, 2015.


credit:themalaysianinsider.com
0 Komentar untuk "Tun Mahathir Dedahkan Inilah Sebab Mengapa Najib Takut Letak Jawatan "

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info