Lepas rindu dengan kekasih bukan Islam dalam hotel bajet

Kota Kinabalu: Seorang gadis ditahan bersama kekasihnya di sebuah hotel bajet dalam Operasi Bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sempena Pesta Kaamatan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan di sebuah bilik hotel kira-kira jam 1 pagi, gadis berusia 21 tahun itu didapati berdua-duaan bersama seorang lelaki bukan Islam, dipercayai teman lelakinya.

Pemeriksaan mendapati, kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang hubungan mahram dan bersekedudukan tanpa hubungan sah.

Difahamkan, ketika serbuan, anggota penguat kuasa bertindak mengetuk pintu bilik dihuni pasangan itu beberapa kali selain memberi salam.

Selepas kira-kira 20 minit menunggu, pintu bilik akhirnya dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Anggota penguat kuasa kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui gadis terbabit juga lengkap berpakaian berada di atas katil.

Soal siasat mendapati, lelaki terbabit bukan beragama Islam dan bekerja di Kuala Lumpur dan mengaku tiba ke bandar raya ini untuk bertemu kekasihnya.

Gadis itu pula berasal dari Kota Marudu dan menetap di bandar raya selepas menamatkan pengajiannya di sebuah kolej tempatan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JHEAINS Khamis Jamil berkata, pemeriksaan mendapati gadis itu beragama Islam dan terpaksa ditahan sebelum dibawa keIbu Pejabat JHEAINS untuk tindakan lanjut.

“Dalam operasi sama, JHEAINS turut menahan empat pasangan kerana didapati berdua-dua di dalam bilik hotel sekitar bandar raya.

“Semua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 kerana berkhalwat,” katanya.

Khamis berkata, operasi mencegah maksiat yang berakhir jam 3 pagi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


sumber:http://pilihan-anda.blogspot.com
0 Komentar untuk "Lepas rindu dengan kekasih bukan Islam dalam hotel bajet"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info