Bayi hamil kembar parasit

Beijing: Doktor di Changzhou di wilayah Jiangsu berjaya mengeluarkan kembar parasit dalam perut seorang bayi baru lahir, minggu lalu.

Pasukan perubatan di sebuah hospital di bandar berkenaan mengesyaki sesuatu tidak kena pada bayi seberat tiga kilogram itu kerana keadaan perutnya.

Satu ketumbuhan besar berukuran lilit 16 sentimeter dikesan di dalam perutnya selepas bayi itu menjalani pengimbasan.

Pembedahan mengeluarkan ketumbuhan itu dilakukan dalam masa dua jam dan pasukan perubatan mengesahkan ia kembar parasit bayi itu, keadaan tidak normal yang berlaku apabila embrio kembar tidak berpisah sepenuhnya dan satu daripadanya berhenti membesar ketika kehamilan.

Keluarga bayi itu dimaklumkan, kembar parasit dalam bayi baru lahir itu turut mempunyai rambut.

Keganjilan itu yang dikenali sebagai janin dalam janin, walaupun jarang berlaku, bukan kes pertama dilaporkan tahun ini.

Februari lalu, seorang bayi di Hong Kong didapati mempunyai dua kembar membesar dalam badannya.

Janin dalam janin hanya berlaku satu dalam setiap 500,000 kelahiran. - Agensi
0 Komentar untuk "Bayi hamil kembar parasit"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info