Anak Tetak Kepala Dan Belakang Pinggang Ibu Tirinya

Penampang: Hanya kerana tidak tahan leteran ibu tirinya, seorang lelaki bertindak ganas apabila bukan sahaja menetak kepala dan belakang pinggang, malah ibu jari kanan wanita terbabit hampir putus dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pisang Putatan, dekat sini, semalam.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, suspek berusia 28 tahun mengamuk sebelum menendang adik tiri lelakinya berusia lima tahun yang sedang tidur menyebabkan paha kiri kanak-kanak berkenaan patah.

Mangsa, Paurah Shapai, 50, dan anaknya, Muhammad Nazri Abdullah, 5, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), dekat sini, menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobdin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung menyatakan ada pergaduhan jam 11.20 pagi, semalam, sebelum menghantar sepasukan polis ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan aduan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua mangsa cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.
0 Komentar untuk "Anak Tetak Kepala Dan Belakang Pinggang Ibu Tirinya"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info