Saya Tidak Bodoh Malahan Saya Pelajar Terbaik - Ahmad Maslan

Barangkali kerana tidak dapat menahan dada yang sentiasa membuak-buak berikutan banyak kenyataan dan hujahnya dipertikaikan, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan malam tadi menulis di Twitternya “Saya tak lah bodoh sangat. Ijazah pertama di Victoria University Wellington New Zealand. MBA di UKM pelajar terbaik drpd 177. CGPA 3.85″.

ahmad maslan bodoh
Barangkali Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno merupakan satu-satunya ahli politik di dunia yang terpaksa menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semata-mata untuk membuktikan beliau seorang yang pandai dan butir-butir kata yang keluar daripada mulutnya bukannya omong kosong tanpa ilmu.

Selalunya ahli politik akan berhujah dengan fakta dan angka dan apabila hujah itu dipertikaikan, fakta dan angka yang lebih kukuh akan dikeluarkan supaya ia tidak dapat disanggah lagi. Tetapi tidak bagi Ahmad Maslan, beliau cuba mematahkan hujah dengan menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semasa belajar dulu.lawak gst padan muka

Suatu pendekatan baru yang mungkin boleh ditiru ahli politik lain apabila hujah disanggah dan dipangkah.

Lantaran itu, di laman mikro sosial Twitter juga, Ahmad Maslan diserang dengan pelbagai kata-kata sindiran dan ejekan berikutan tindakannya menyebut tempat dia belajar dan pointer yang diperolehinya itu.

Pelbagai kata-kata sinis ditujukan semula kepadanya termasuk ejaannya yang kerap salah dalam tulisan di Twitter serta ada juga yang membandingkannya dengan pemimpin lain yang ada PhD dan sebagainya.

Sebenarnya orang ramai mempertikaikan banyak kenyataan Ahmad Maslan bukan perkara baru. Sejak beliau diangkat menjadi Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri empat tahun lalu, dirinya tidak pernah sunyi daripada serangan dan pertikaian umum.

Semalam, jawapannya di Parlimen yang menyatakan rasa kesal kerana rakyat tidak pernah terima kasih atas subsidi yang diterima, sebaliknya menyatakan bantahan apabila ia dikurangkan, menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. Ramai yang mempertikaikan hujah itu dan seolah-olah rakyat yang turut membayar cukai tidak boleh bersuara langsung terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Beliau kemudiannya berkata negara tidak mengalami krisis ekonomi walaupun nisbah hutang mencecah 51 peratus daripada KDNK dan ia adalah lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, Italy, Portugal dan Singapura.

Berikutan kenyatan itu, Ahmad Maslan dilabel dengan pelbagai gelaran dan kata-kata yang tidak enak turut dilemparkan terhadapnya.

Sebelum ini, banyak kenyataannya disanggah dan disifatkan tidak logik. Dalam isu kenaikan harga minyak bulan lalu, Ahmad Maslan mengutip teori atau kajian yang entah dari mana dengan menyatakan kenaikan 20 sen tidak memberi banyak kesan kepada rakyat kerana katanya, rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah hanya membelanjakan RM132 atau RM4.40 saja sehari untuk petrol manakala yang berpendapatan RM5,000 ke atas pula hanya membelanjakan RM375 atau RM12.50 sehari untuk minyak kenderaan mereka.

Hujah dan teori beliau ini seolah-olah semua orang mempunyai pejabat yang berdekatan dengan rumah dan tidak pergi ke mana-mana pada hujung minggu atau cuti umum.

Hujahnya dalam mempertahankan tindakan Najib menaikkan harga minyak lantas mendapat serangan dan ejekan yang paling banyak di laman sosial Facebook dan Twitter kerana beliau seolah-olah pemimpin yang tiada perasaan terhadap derita rakyat dan melihat semua tindakan pemimpin atasannya betul belaka.

Dakwaan Ahmad Maslan bahawa harga minyak kita yang kelapan terendah di dunia dikritik orang ramai termasuk oleh Prof Dr Agus Yusof kerana fakta sebenarnya ialah kita berada di kedudukan 16.

Di Parlimen juga beliau mengulangi hujah Najib bahawa harga minyak tidak naik, cuma subsidi dikurangkan. Ia terlihat bahawa seolah-olah harga minyak yang dibayar oleh rakyat tetap sama antara sebelum dan selepas subsidi dikurangkan sedangkan hakikatnya tidaklah begitu. Mengakui sajalah harga minyak naik, habis cerita!

Banyak lagi tindakan dan kenyataannya turut menjadi bahan pertikaian sebelum ini. Pelbagai teori yang pernah diutarakannya sebelum PRU13 terutama untuk menang dalam pilihan raya bukan saja menjadi pertikaian, malahan menjadi bahan persendaan di kalangan ahli Umno sendiri. Ini kerana beliau sebagai ketua penerangan dilihat seolah-olah tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak melihat dunia politik mempunyai masalah dan halangan yang lebih kompleks serta berbeza-beza mengikut tempat.

Jika semasa menjadi Timbalan Menteri di JPM dulu, beliau sering bercakap berkaitan politik tetapi kini setelah menjadi Timbalan Menteri Kewangan, hujah beliau juga jarang lari daripada elemen politik walaupun dalam isu ekonomi dan kewangan negara.

Program Juara Rakyat yang diperkenalkannya, kononnya untuk melonjak sokongan rakyat terhadap kerajaan, bukan saja tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan, bahkan tidak lagi digunapakai sebagai medium utama untuk pilihan raya umum lalu. Program itu dihentikan di tengah jalan dan diambil alih oleh Program Janji Ditepati yang diadakan berterusan sehingga musim kempen pilihan raya.

Sebagai ahli politik yang mungkin turut bercita-cita tinggi dan tidak berpuas hati sekadar menjadi timbalan menteri saja, Ahmad Maslan barangkali tidak dalat memahami kenapa hujah dan kenyataannya sering dipertikai dan dipersendakan sedangkan beliau pelajar terbaik dan pandai. Naik darahnya mungkin sudah tidak tertahan lagi, lalu dibuktikannya bahawa beliau sebenarnya adalah seorang yang pandai sejak dulu.

Dengan pointer CGPA 3.85 itu, Ahmad Maslan juga boleh mendabik dada di kalangan menteri dan timbalan menteri yang ada kerana pastinya tidak ramai yang tida ada pencapaian seperti itu.

sumber :http://malaysianreview.com/
0 Komentar untuk "Saya Tidak Bodoh Malahan Saya Pelajar Terbaik - Ahmad Maslan"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info