Penyokong JDT Bikin Malu


PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan liar segelintir penyokong Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan Liga Super 2015 antara kedua-dua pasukan itu, di Stadium Perak, di Ipoh malam tadi .

Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas menyaksikan penyokong JDT bertindak membaling besi ke arah penyokong Perak.

"Mereka baling besi tapi tidak kena, cuma kena bahagian kerusi. Saya lihat sendiri penyokong JDT pergi ke bahagian pintu D dan mengejar penyokong kita.

Ketika itu nasib baik ada pagar yang hadang jadi penyokong kita pun lari. Ini melampaui batas sebagai penyokong Malaysia.

"Dalam mesyuarat sebelum ini, kami sudah bincang dengan polis, biar penyokong Perak dengan pemain keluar terlebih dahulu.

"... Dan barulah penyokong dan pemain JDT keluar. Kita juga telah mengambil langkah awal dengan mengarahkan semua penyokong JDT masuk ke kawasan padang dan masa itulah perkara ini berlaku," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga akan membuat tuntutan ganti rugi kepada FAM selepas mendapati beberapa papan iklan rosak akibat kejadian tersebut.

"Kalau kita tidak cukup kawalan keselamatan mereka akan menyalahkan kita. Tetapi bila sudah cukup kawalan keselamatan, segelintir penyokong pula bertindak liar. Jadi saya rasa kalau perkara ini dibiarkan berlarutan imej bola sepak negara akan tercalar dengan sikap sebahagian penonton ini.

"Malah saya difahamkan dalam stadium ada juga pergaduhan antara penyokong JDT sendiri yang terdiri daripada dua kumpulan berasingan. Namun, kita boleh halang agar pergaduhan itu tidak berpanjangan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 570 anggota keselamatan termasuk daripada Pafa telah ditugaskan untuk menjaga ketenteraman pada perlawanan malam tadi.

Ketika ditanya berhubung pemain JDT menaiki kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) selepas perlawanan tamat, beliau berkata, ia sebagai langkah pencegahan demi menjaga keselamatan pemain.

"Dalam mesyuarat, memang kita minta supaya pemain dibawa masuk dalam kenderaan FRU kerana kita tahu ada segelintir penyokong yang menunggu di celah pokok dan baling batu, jadi itu merupakan langkah mengelak daripada terkena pemain.

"Ia bukan disebabkan kejadian itu (pergaduhan) tetapi secara kebetulan. Jika tidak berlaku pun, memang kita dah putuskan untuk berbuat demikian dalam mesyuarat," katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Perak menewaskan JDT 2-1. - Bernama
0 Komentar untuk "Penyokong JDT Bikin Malu "

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info