Kerajaan Malaysia Sangat Peka Soal Akidah Umat Islam - Datuk Seri Jamil Khir Baharom

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sangat peka tentang soal akidah umat Islam di negara ini kerana sebarang salah faham atau pegangan yang tidak berlandaskan al-Quran dan hadis akan memberi kesan negatif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
  
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan negara malah kesejahteraan rakyat di negara ini.
  
Katanya, oleh itu Malaysia perlu menjadi negara Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kuat dan bersandarkan kepada Mazhab Imam Syafie yang menjadi pegangan selama ini agar pegangan akidah umat Islam tidak mudah diganggu gugat mana-mana fahaman serong.
 
"Sebab itu, kita (kerajaan) tidak berkompromi dengan mana-mana ajaran lain seperti Syiah, liberisme dan pluralisme agar rakyat beragama Islam di negara ini tidak berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri," katanya pada majlis perasmian seminar Akidah dan Pemikiran Islam peringkat kebangsaan di sini hari ini.
 
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Razali Shahabudin.
  
Program anjuran Persatuan Mahasiswa Usuluddin dan Pusat Pengajian Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin, Pusat Pemantapan Akidah Jakim, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu dihadiri 1,000 peserta terdiri pelajar universiti dari seluruh negara, kakitangan kerajaan dan swasta serta komuniti setempat.
  
Jamil Khir berkata, sejak kebelakangan ini, terlalu banyak istilah yang dicipta untuk merujuk kepada aliran pemikiran kontemporari seperti modenis, fundamentalis, neomodenis, liberisme dan plurisme yang dikhuatiri hanya akan menambah kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
  
"Aliran pemikiran ini ada yang positif dan ada juga yang bernada negatif, malah ada yang terkeluar daripada tradisi Islam dan disebarkan melalui media komunikasi seluruh dunia.
  
"Justeru, marilah kita bersama-sama untuk menyekat mana-mana fahaman yang tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar akidah generasi akan datang terus terpelihara," katanya. - Bernama
0 Komentar untuk "Kerajaan Malaysia Sangat Peka Soal Akidah Umat Islam - Datuk Seri Jamil Khir Baharom"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info