Isu GST : Berikut Komen Nurul Izzah Jika PKR Berjaya Memerintah Malaysia

KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dilaksanakan baru-baru ini, akan dikaji semula sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah berkata selepas kemenangan tersebut, kerajaan ketika itu nanti akan mempunyai kuasa untuk membawa rang undang-undang GST di Parlimen untuk mengurangkan kadar cukai kontroversi itu.

“Itu mungkin satu kaedah yang kami akan lihat.

“Terdapat juga mekanisme cukai lain seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Warisan. Fokus kami adalah untuk meningkatkan pendapatan pekerja dan menjana ekonomi dengan pengagihan kekayaan yang lebih baik," kata Naib Presiden PKR itu kepada Astro AWANI.

Apabila ditanya mengenai kenaikan harga barangan baru-baru ini selepas pelaksanaan GST, beliau berkata kerajaan berjanji harga barangan akan diturunkan dengan pelaksanaan GST tetapi apa yang berlaku adalah, harga barang dinaikkan 20 hingga 30 peratus.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata peningkatan harga itu sudah dijangka akan berlaku oleh pihak pembangkang.

“Fenomena seperti ini telah berlaku di semua negara yang memperkenalkan GST," kata Naib Presiden PKR itu sambil menambah ia juga akan menyebabkan inflasi dan membawa kesan yang lebih buruk kepada ekonomi negara.

Tian Chua juga berkata sekiranya PKR berjaya mengambil-alih kerajaan dalam pilihan raya itu, mereka akan turut mengkaji semula kenaikan gaji pekerja dan GST.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jumaat berkata harga barangan dan perkhidmatan telah naik antara 20 hingga 30 peratus selepas GST mula dilaksanakan 1 April.

0 Komentar untuk "Isu GST : Berikut Komen Nurul Izzah Jika PKR Berjaya Memerintah Malaysia"

 
Copyright © 2014 Benci GST - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info